Penerbit filem Bas Terakhir Malam Raya telah mengambil tindakan undang-undang terhadap satu saluran YouTube dengan nama Jari Hantu yang telah menyiarkan naskhah tersebut secara haram.
Masih lagi ditayangkan di saluran Astro First bermula 21 April lalu, pengarah iaitu Eric Fuzi memberitahu, kerugian dialami Floor 88 Holdings bersama dua lagi syarikat penerbit dianggarkan bernilai RM2.67 juta.
“Kami tidak menolak kemungkinan perbuatan ini dilakukan melibatkan orang dalam kerana bahan tayangan secara haram di saluran Youtube itu tidak mempunyai logo Astro First.
“Jika dia buat rakaman skrin daripada siaran Astro First, mesti ada logo. Oleh sebab itu kami tidak menolak berkemungkinan ada melibatkan orang dalam,” katanya ketika ditemui hari ini.
Eric berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama ahli kumpulan Floor 88 dan pengarah bersama filem berkenaan, Irwan Rauf.
Mengulas lanjut, Eric yang juga ahli kumpulan Floor 88 menambah, pihaknya sebelum ini ada mengesan beberapa tindakan memuat naik filem Bas Terakhir Malam Raya secara haram di aplikasi Telegram dan TikTok.
Namun begitu katanya, setelah menegur pemilik akaun, filem arahannya di dua saluran media sosial itu serta-merta diturunkan.
Menurutnya, perbuatan memuat naik secara haram filem itu sekali lagi berjaya dikesan pada 4 Mei iaitu Hari Wesak di saluran Youtube oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan nama ‘Jari Hantu’.
Menyedari perbuatan haram itu katanya, satu laporan kepada pihak berwajib telah dibuat, tetapi ia mengambil masa enam hari untuk diturunkan daripada platform tersebut.
“Kerugian yang kami alami berdasarkan jumlah tontotan sebanyak 168,000 kali oleh pelayar di platform berkenaan.
“Jika jumlah tontotan itu didarab dengan bayaran langganan sebanyak RM15.90 di Astro First, kami mengalami kerugian bernilai RM2.67 juta,” katanya penuh kesal.
Eric berkata, pihaknya sangat berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan teliti, seterusnya berjaya menangkap pihak tidak bertanggungjawab tersebut. – BOOM!