Penyanyi rap Asyraf Nasir teruja dapat bertemu pengacara sensasi Azwan Ali ketika merakamkan single terbaharunya yang berjudul See My Level.
Berkolaborasi bersama bintang hip hop remaja meningkat naik iaitu Kowachee, Asyraf menganggap pengalaman bekerjasama dengan Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA sebagai sesuatu yang mengujakan.
Berkongsi mengenai pengalaman bekerjasama dengan semua pihak yang menjayakan lagu dan video muzik See My Level, Asyraf berkata masing-masing memberikan aura bertenaga.
“Kita saling menjaga tenaga masing-masing. Sebab satu hari padat dengan penggambatan dari awal pagi hingga malam.
“Saya rasa yang paling memberangsangkan adalah bila kita ada Diva AA datang ke set sebagai penampilan istimewa.
“Sememangnya tuan punya tagline See My Level pun berada di set, memang tidak mengecewakan. Aura dia sangat kuat dan sangatlah memukau.
“Bagi saya dan Kowachee ini satu pengalaman baru sebab kita nak kena samakan tenaga dengan dia,” katanya.
Sementara itu, Kowachee mengakui teruja dan paling menantikan lagu See My Level itu kerana dapat bekerjasama dengan Asyraf selain belajar menulis ‘verse’ tersendiri.
“Sesi proses rakaman agak santai. Kami berkomunikasi bersama untuk membina idea. Saya juga dapat belajar sambil menulis lirik sendiri.
“Semasa proses rakaman lagu, ini pertama kali saya masuk studio. Sebelumnya, saya ada sesi berborak dengan penerbit dan Asyraf.
“Macam rakaman video muzik pula, alhamdulilah tidak ada pengalaman yang sukar. Semua berjalan dengan lancar. Kru dan pasukan produksi pun sangat menepati waktu.
“Saya juga dapat jumpa Diva AA dan dia seorang yang sangat baik dan lawak. Apa yang penting kami semua seronok dapat bekerjasama,” katanya.
Selain itu Kowachee, turut berterima kasih dan gembira dapat bekerjasama dengan semua pasukan yang dianggap profesional.
“Bekerja dengan orang yang sangat kreatif dan menyeronokkan dalam video muzik adalah pengalaman yang menarik dan tidak boleh dilupakan.
“Asyraf seorang yang sangat berkarisma dan ada aura yang gembira, jadi bila bekerja dengan dia proses menjadi seronok.
“Cuma, cabaran saya untuk penggambaran video muzik ini adalah memandangkan saya masih bersekolah, jadi kena asingkan masa sekolah dan Asyraf pun ada projek dia sendiri tetapi kerja berpasukan yang ada membuatkan semunya menjadi nyata dan mudah.
“Apa pun, saya berharap peminat suka, menonton dan mendengar berulang kali lagu ini. Saya juga berharap dapat banyak maklum balas positif jadi saya boleh menambahbaik untuk lagu lain,” katanya.
Dalam pada itu Asyraf menyifatkan Kowachee seorang penyanyi yang cepat yang ‘tangkap’.
“Kowachee orang yang cepat tangkap. Sebagai orang baru kiranya dalam bidang rap, dia ni memang faham mengenai penyampaian dan ‘flow’ dalam rap.
“Kadang-kadang orang dewasa pun tak dapat nak capai pemahaman yang cekap seperti itu.
“Proses rakaman agak seronok sebab penerbit, Shazee seorang yang suka membawa keluar yang terbaik dalam setiap penyanyi, jadi dia memang berkali-kali mintak kita rakam semula.
“Bagi saya ia bagus, sebab kita cakap mengenai ‘level’ atasan yang berkualiti, maka ia perlu dilihat dalam hasil kita juga,” katanya.
Single See My Level boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 3 Mac lalu, video muzik telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube Defjam Malaysia pada 10 Mac lalu. – BOOM!