Penyanyi rap Eddie G, Asfan Shah dan Luca Sickta tampil dengan buah tangan terbaharu pada Ramadan kali ini berjudul Yataghayar.
Mungkin judulnya kedengaran pelik, namun ia diambil daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud ubah atau perubahan.
Eddie G berkata, lagu tersebut dicipta secara kebetulan dan spontan ketika sedang memikirkan tentang kehidupan.
“Idea itu datang secara tiba-tiba dan spontan ketika saya sedang memikirkan tentang kehidupan.
“Waktu itu yang bermain di fikiran saya ialah mengenai kehidupan setiap daripada kita yang akan sampai ke satu titik noktah.
“Pelbagai persoalan bermain di fikiran – apa yang perlu di isi? Apa yang kita mahukan dalam kehidupan? Mengapa hidup semakin sukar?
“Dan bermacam lagi persoalan yang jawapannya terkandung dalam bait-bait lagu ini,” jelas Eddie yang juga duta jenama terunggul dari Britain, Fred Perry.
Lagu Yataghayar diterbitkan syarikat rakaman ACE Talents dan turut menampilkan penyanyi Asfan Shah dan Luca Sickta.
Berkonsepkan kerohanian Islamik, single Yataghayar yang mengambil masa selama sehari untuk disiapkan, jatuh dalam nuansa hip-hop dengan melodi yang tidak ‘keras’ dengan lirik yang umum, mudah diamati oleh setiap pendengar.
“Saya ‘perlahankan’ lagu rap ini dan tidak terlalu agresif dengan penggunaan bahasa yang mudah difahami, sesuai untuk pendengaran anak-anak sekolah rendah yang cepat ‘tangkap’, dan sesuai untuk majlis ilmu.
“Asfan saya pilih sendiri sebagai rakan kolaborasi kerana bakat yang dimilikinya dan pendekatan kerohanian yang diutamakannya sekarang,” tambah Eddie.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dan Pengasas ACE Talents, Azuein Alonto berkata, mereka mengambil pendekatan pada tahun ini untuk tidak menerbitkan lagu Raya untuk mencipta kelainan.
“Walaupun tidak menerbitkan lagu raya, lagu Yataghayar ‘kena’ dengan bulan yang mulia ini kerana maksudnya yang mengajak ke arah perubahan yang baik dan bulan mana yang lebih sesuai kalau tidak di bulan Ramadhan.
“Selain itu, bakat yang dimiliki Eddie G dan Asfan Shah wajar diberi perhatian kerana pengalaman yang mereka ada cukup dalam dan faham selok-belok industri kita, dan ACE Talents tidak teragak-agak untuk menerbitkan karya yang bermutu ini,” katanya.
Dalam pada itu Eddie berharap agar Yataghayar dapat diterima ramai dan disukai pendengar di negara ini.
Eddie juga berharap agar Yataghayar dapat menembusi pasaran Indonesia.
“Saya tidak berharap pada makhluk, ini semua kerja Tuhan, namun usaha saya tidak pernah henti, ini hanyalah ‘pit-stop’ sebelum saya ke destinasi yang seterusnya, saya berimpian agar lagu ini sampai ke negara seberang, Indonesia.
“Pesan saya, jangan takut untuk ‘berubah’ dan sedarlah bahawa hidup ini hanya sekali,” katanya meletak harapan.
Lagu ‘Yataghayar’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala lirik video single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube ACE Talents. – BOOM