Pasangan selebriti antarabangsa, Justin dan Hailey Bieber menerima kecaman daripada warganet selepas melontarkan komen negatif tentang ibadah berpuasa di bulan Ramadan.
Ketika temu bual di atas talian, Justin dan Hailey dilihat mempersendakan individu yang berpuasa.
Menerusi rakaman video, Justin berkata, dia perlu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menahan diri daripada minum dan makan seharian.
“Saya akan fikirkannya terlebih dahulu dengan mendalam sebab saya tidak pernah lakukannya. Saya rasa badan saya perlukan nutrisi untuk berfikir dengan betul,” jawabnya.
Sementara itu, Hailey menyifatkan tindakan tidak makan dan minum untuk sepanjang hari sangat tidak logik.
“Puasa bagi saya tidak masuk akal. Kalau berpuasa daripada menonton televisyen atau melihat telefon bimbit itu saya percaya.
“Tapi kalau berpuasa makan dan minum itu tidak masuk akal.
“Kalau puasa gula-gula atau gula minuman itu mungkin sesuai untuk saya,” jelasnya. – BOOM!