Kata orang, andai diganggu makhluk halus, individu tersebut dianggap insan terpilih.
Berpengalaman membintangi tiga naskhah seram, pelakon baharu, Hakim Nordin menyifatkan nasibnya masih baik kerana belum pernah ‘didampingi’ teman dari alam ghaib.
“Bersembang fasal perasaan takut terhadap hantu, kita kena lihat atau nilai dari sudut berbeza.
“Misalnya, perihal seseorang yang taasub cari hantu dengan situasi pelakon yang terlibat cerita hantu,” ujarnya mentafsir logik akal.
Mengulas lanjut, Hakim atau Muhamad Hakim Nordin, 25, akui, selama ini dia cuma dengar perkongsian dialami rakan pelakon.
“Sesetengah mereka menyatakan, selagi belum rasai kejadian menyeramkan, selagi itu pengalamannya dikira tak cukup untuk dilabel pelakon cerita seram.
“Ada sekali tu, sedang saya rakam suasana balik tabir di sekitar lokasi penggambaran, tiba-tiba ternampak kelibat.
“Terus saya diam seribu bahasa dan endahkan kehadirannya,” beritahu Hakim kepada Boom!.
Memikul watak antagonis dalam filem Paskal, Hakim berasa lega kerana setakat ini tidak timbul masalah serius berkaitan kisah misteri.
Hakim memaklumkan, tiga produksi dibintanginya bertajuk Ada Hantu, Dendam Penunggu dan Empat yang bakal disiarkan tak lama lagi di platform penstriman digital.