Individu yang memfitnah pelakon Uqasha Senrose sebagai pembuli di sekolah sebelum ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Perkara tersebut dikongsi Uqasha menerusi hantaran di Instagram Story selepas diberitahu peminatnya mengenai permohonan maaf daripada individu dikenali sebagai Nadia Rosli itu.
Uqasha berkata, punca individu itu membuat fitnah disebabkan pernah bergaduh dengan adiknya dan seterusnya, menghakimi kakak yang hanya membela adiknya, sebagai seorang gangster.
Katanya lagi, individu berkenaan tampil membuat pengakuan dan permohonan maaf kepadanya menerusi sebuah video.
“Assalamualaikum, saya Nadia Rosli ingin membuat pengakuan saya mengatakan Uqasha Senrose seorang yang gangster dan pembuli. Saya ingin menarik semula segala kata-kata saya.
“Dia sebenarnya bukanlah seorang pembuli atau gangster, cuma saya pernah bergaduh dengan adiknya. Uqasha cuba untuk mempertahankan adiknya.
“Saya di sini dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf kepada Uqasha Senrose kerana mengaitkan namanya dalam hal ini. Saya sekali lagi meminta maaf,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Uqasha, apa yang dikesalkan sebelum ini ialah apabila individu tersebut sanggup menggunakan nama Allah untuk membuatkan orang lain mempercayai fitnah dilemparkan.
“Dia menyebarkan aib yang mengatakan saya adalah gangster dan pembuli kepada orang lain guna Direct Message.
“Punyalah hendak membuat orang percaya saya gangster, siap sebut demi Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Uqasha berkata dia enggan memanjangkan isu dan menerima permohonan maaf wanita terbabit. – BOOM!