Selama lapan tahun menantikan zuriat kedua, Aril Pilus teruja dan bersyukur sementelah isterinya disahkan hamil dan kandungan kini berusia enam minggu.
Pun begitu, kegembiraan Aril mendengar khabar tersebut terencat apabila baru-baru ini doktor memaklumkan bahawa isterinya, Puteri Erma Edlinda dikesan mempunyai ketumbuhan fibroid.
Akur dan reda dengan berita tersebut, Aril berkata, Puteri perlu menjalani pembedahan membuang rahim bagi merawat permasalahan dialaminya.
“Bayi dalam perut sihat. Alhamdulillah, setelah lapan tahun, akhirnya doa kami agar dimakbulkan-Nya.
“Cuma, kami diuji apabila doktor memberitahu isteri ada fibroid. Jadi, dia perlu dibedah memandangkan fibroid tersebut terdapat di dalam dan luar rahimnya.
“Lebih mengejutkan, rupa-rupanya sudah enam tahun fibroid itu wujud dan kami tak pernah tahu mengenainya,” jelas Aril.
Menurut penyanyi dan pengacara berkenaan, fibroid yang dikesan itu tidak boleh dibuang awal.
“Doktor kata kena mengandung dulu, nanti waktu bersalin, baru boleh dibuang sekali dengan rahim,” terangnya.
Mengakui situasi dilaluinya bersama isteri itu merupakan satu ujian besar, bagaimanapun mereka akur seandainya anak yang bakal lahir kelak adalah satu-satunya zuriat mereka.
Bintang Akademi Fantasia musim ketujuh itu mendirikan rumah tangga bersama Puteri Erma Edlinda pada 20 Disember 2013 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Tun Adriel Mikael yang kini berusia tujuh tahun. – BOOM!