Sekitar tiga tahun lalu, klip video nyanyian Shazriq Azeman pernah tular di media sosial menyanyikan beberapa buah lagu hit dari Malaysia dan Indonesia.
Namun kemasyhuran dikecapinya cuma seketika sementelah namanya terus dilupakan sehinggalah dia muncul dalam program All Together Now Malaysia (ATNMY).
Kini, bekerjasama dengan label muzik Alternate Records selaku pengedar, Shazriq, 23, atau Mohamad Shazriq Shah Mohd Azeman tampil mempersembahkan Bebas, sebuah single bergenre power pop hasil nukilan sendiri.
“Manisnya, Bebas bukan hanya menonjolkan keupayaan vokal saya seorang, bahkan turut berkongsi momen tersebut dengan mengetengahkan bakat dimiliki tiga rakan iaitu Le Mahar, Afaro dan Aizi,” kata Shazriq kepada Boom!.
Dia menambah, kemanisan dirasai atas penghasilan Bebas tidak terhenti di situ, malah kian berganda apabila karya berkenaan dipilih menjadi runut bunyi (OST) bagi drama Terlerai Noktah siaran TV3.
“Hasil pemerhatian terhadap industri muzik di Malaysia, sesebuah lagu yang melatari drama mudah diterima baik oleh pendengar.
“Maka sebab itulah tempoh menyiapkan Bebas agak lama kerana mahu mengenal pasti faktor yang menjamin penerimaan khalayak.
“Ini merupakan strategi pemasaran efektif. Biarpun memakan masa tetapi hasilnya berbaloi,” ujar Shazriq mengambil iktibar pengalaman lampau ketika melancarkan debut Sesuatu Yang Takkan Mungkin pada 2019, namun gagal menyerlah.
Shazriq juga yakin, dukungan daripada syarikat rakaman Some Madd Records kendalian ahli keluarga sendiri telah mendorongnya kembali bangkit meneruskan impian bergelar penyanyi.
“Alhamdulillah, baru kini saya bebas kecapi erti kejayaan sebenar.
”Meski kecil di mata orang lain, tetapi besar maknanya buat saya,” luah jejaka itu di samping menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang setia menyokong karier seninya.