Biarpun baru berusia belasan tahun, namun pelakon muda, Danish Hazriq sudah diberikan peranan penting dalam drama lakonannya.
Terkini, Danish atau Muhammad Danish Zul Akman, 15, diberikan tanggungjawab mendukung watak remaja yang mengalami masalah depresi dalam naskhah berjudul I-Tanggang siaran Astro Citra.
“Watak saya kali ini memang berat sebagai mangsa konflik rumah tangga ibu bapanya. Dia keliru untuk mengikut arahan siapa.
“Meskipun sedar kebanyakan tindakan ibunya salah, tetapi dia terpaksa turutkan kerana enggan jadi anak derhaka.
“Tidak cukup dengan itu, dia juga sering didera hingga menyebabkan anak itu depresi,” cerita Danish perihal karakternya.
Biarpun dia pernah berlakon watak hampir serupa, namun pelakon yang mula dikenali menerusi drama Strawberi Dan Karipap itu akui penglibatannya dalam I-Tanggang sedikit berbeza.
“Sepanjang tempoh dua bulan penggambaran, boleh dikatakan cuma terdapat beberapa adegan sahaja tidak memerlukan saya mengeluarkan air mata.
“Selebihnya asyik menangis saja. Biarpun berat, tetapi saya gembira dapat peluang melakonkan watak ini.
“Tambahan pula, pelakon otai seperti Uncle Faizal Hussein dan Kak Sherie Merlis banyak bantu saya,” ujarnya disamping rasa bangga dan bertuah dapat berdampingan figura hebat seni lakon tanah air.
Diaju soalan tentang caranya mengimbangi jadual kerja dengan sesi persekolahan, Danish berkata, dia tiada masalah membahagikan masa untuk kedua-duanya.
“Ketika berada dalam tempoh PKP, agak senang untuk saya fokus terhadap pelajaran yang dilakukan secara PdPR.
“Sebelum ini, ayah akan hantar saya ke kelas tuisyen supaya dapat catch-up semula subjek mata pelajaran yang tertinggal,” jelasnya.
Sementara itu, waima masih mentah dan dianggap budak hingusan, kehebatan bakat lakonan dipersembahkan Danish sukar disangkal.
Akan tetapi, di sebalik pujian tersebut, hakikatnya pelajar tingkatan tiga berkenaan akui, dia berhadapan kesukaran untuk menghafal dialog dan skrip ketika mula-mula membabitkan diri dalam dunia seni.
“Saya berlakon sejak umur 8 tahun atau darjah dua. Masa itu susah sangat nak hafal skrip dan tonjolkan emosi. Lebih-lebih lagi jika kena menangis.
“Mujur semasa berada di set, saya berjumpa dengan para pelakon lain yang hebat belaka tetapi sedikit pun tidak memandang rendah terhadap keupayaan saya. Bahkan mereka tidak lokek ilmu,” tambahnya.
Pun begitu, laluannya sebagai pelakon bukanlah semudah disangka. Kata Danish, banyak sesi uji bakat dicubanya sehinggalah dia ditawarkan peluang menggalas peranan utama.
“Ayah sering bawa saya pergi ‘casting’ dan kebanyakannya tidak diterima.
“Hingga satu hari tu, apabila berjaya dapatkan watak besar, terus saya tetapkan fokus dan tekad nak jadi pelakon hebat macam Uncle Faizal.
“Mulai saat itu, saya buat sehabis baik hingga saya dicalonkan selaku Top 5 Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Skrin 2018,” ceritanya bangga atas pencapaian diraih.
Selain bidang lakonan, Danish juga menyimpan hasrat bergelar pengacara dan penyanyi andai rezeki berpihak kepadanya kelak.