Penyanyi Amir Jahari tidak menyangka impian untuk menghasilkan lagu OST untuk filem genre cinta akhirnya tercapai.
Amir berkata, OST bagi filem ImagiNur berjudul Hasrat dihasilkan daripada intipati filem itu sendiri merangkumi persoalan dan ide yang dikemukakan dalam penceritaannya.
“Sebenarnya, ini bukan kali pertama saya membuat OST filem. Filem pertama adalah Orang Itu, sebuah filem dari Low Ngai Yuen yang keluar pada tahun 2018. Cuma untuk OST Filem ImagiNur, Hasrat adalah sangat dekat di hati saya.
“Saya memang bercita-cita untuk membuat OST untuk filem kisah cinta. Apabila pengarah Nik Amir Mustapha sendiri menghubungi saya untuk bekerjasama, saya memang sangat teruja dan tidak sangka.
“Tanpa banyak fikir, saya terus setuju dan hantar demo berdasarkan sinopsis yang diberi. Alhamdulillah Nik Amir setuju dan proses seterusnya mudah sahaja,” katanya.
Hasrat adalah single ciptaan sepenuhnya Amir Jahari, terbitan Lumatic Films dan edaran secara digital oleh Luncai Emas Sdn Bhd.
“Untuk mengetahui maksud lagu ini, filemnya harus ditonton dahulu, kerana gambaran keseluruhan pada lagu Hasrat boleh dilihat di saat kemuncak filem tersebut’,” katanya.
Single Hasrat mendapat perhatian ramai di ruangan media sosial TikTok, Instagram, Facebook dan turut menjadi ‘trending’ di Twitter.
Hasrat juga berada di tangga ke-13 dalam Carta Malaysia 50 di aplikasi Spotify.
Hasrat sudah boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Itunes, kkbox dan Deezer, muzik videonya juga sudah sedia untuk ditonton di Youtube Luncai Emas Sdn Bhd.
Filem Imaginur juga kini telah sedia ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara.
Filem ImagiNur yang diterbitkan oleh Lumatic films merupakan sebuah filem kisah cinta ber-genre sci-fi ataupun fiksyen sains, arahan Nik Amir Mustapha yang menggandingkan pelakon popular Beto Kusyairy dan Diana Danielle selaku teraju utama.
Filem Imaginur adalah sebuah kisah cinta yang mengisahkan tentang seorang lelaki bermimpikan seorang gadis, kemudian setelah melalui proses hipnosis, tiba-tiba mereka berjumpa di alam realiti. Bolehkah kita dipukau untuk bercinta? – BOOM!