Filem kontroversi berjudul Mentega Terbang yang mula ditayangkan di aplikasi Viu sejak Januari lalu telah dikeluarkan daripada platform Viu.
Untuk kepastian BOOM! sempat membuat tinjauan dan mendapati filem arahan Khairi Anwar itu sudah tiada di platform berkenaan.
Wargamaya di media sosial turut mengesahkan tentang perkara tersebut apabila mereka mengesahkan gagal menemui filem itu walaupun baru sempat menonton sebahagiannya di platform Viu.
Terdahulu, filem tersebut mendapat kecaman banyak pihak apabila ia dikatakan memaparkan babak yang menyentuh sensitiviti agama iaitu menghina Islam.
BACA: [V] Papar Adegan Bapa Restu Anak Tukar Agama, Filem Mentega Terbang Terima Kecaman Teruk
Isu tersebut juga telah mendapat perhatian pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mendapati keseluruhan kandungan filem tersebut bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.
Bagaimanapun, media melaporkan pengarahnya Khairi Anwar, 31, dipetik sebagai berkata, apa yang menjadi bualan orang ramai bukanlah gambaran sebenar yang ingin disampaikan dalam keseluruhan filem tersebut.
Malah suntingan beberapa minit dari filem tersebut juga tidak akan menjawab mesej sebenar yang ingin disampaikan jika orang ramai tidak menonton penuh karya berdurasi 1 jam 45 minit itu.
Dia juga berpendapat mereka yang mengecam filem ini tidak menontonnya sehingga habis dan bercakap di luar konteks sedangkan apa yang ingin disampaikan ada dalam keseluruhan filem tersebut.
“Mereka hanya mengambil klip dua minit dari keseluruhan 1 jam 45 minit. Jawapan kepada isu yang viral itu ada pada minit seterusnya. Malangnya ia telah dipotong dan hanya isu tersebut yang menjadi viral di media sosial,” ulasnya ketika dihubungi mStar.
Sejak beberapa hari lalu satu babak dari filem terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment itu hangat menjadi bualan kerana menggambarkan seorang bapa yang berfikiran terbuka tidak menghalang anaknya untuk memilih agama yang mana perbuatan itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Selain itu lontaran dialog watak kanak-kanak perempuan bernama Aishah juga menjadi perdebatan kerana dianggap boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan penonton.
Selain isu itu, terdapat satu lagi adegan mengenai makanan daging babi turut tular di media sosial yang menjadi bantahan ramai. – BOOM!