Melewati usia sedekad perkahwinan antara Nabil Ahmad dengan isterinya, Zira Ayub, pasangan tersebut sekali lagi menaiki jenjang pelamin sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-10 rumah tangga mereka.
Istimewanya, momen persandingan pasangan sama cantik sama padan itu diabadikan menerusi siaran secara langsung menerusi program bual bicara hiburan popular iaitu Meletop pada Selasa lalu.
Dalam rancangan tersebut, Nabil dan Zira yang lengkap berbusana tradisi rona putih bersanding di atas pelamin yang dibina khas dalam set studio Meletop.
Lebih manis, penyanyi, Lah Ahmad turut diundang bagi mendendangkan lagu berjudul Selalu Denganku didedikasikan khusus buat merpati dua sejoli itu.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 38, telah diijabkabulkan bersama Zira atau Nazirah Ayub, 33, pada 30 September 2011 dalam sebuah majlis yang diadakan di i-City Shah Alam, Selangor.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan bernama Nayla Mikayla, 9; Leyla Medyna, 6 dan Mishall Imani, 2, manakala bayi keempat dikandung Zira keguguran pada Jun lalu sementelah kandungannya berusia tiga bulan.