Pelawak, Ebby Yus, 57, yang dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani rawatan di hospital pada 7 Februari lalu akibat masalah buah pinggang, mahu terus bekerja selagi kudrat ada.
Ebby yang menjalani rawatan lebih seminggu hingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama tiga hari, tidak mahu terlalu selesa dengan bantuan insan prihatin.
Sebaliknya, Ebby lebih mengalu-alukan sumbangan dalam bentuk tawaran kerja.
“Prinsip saya mahu bekerja daripada terima sumbangan. Saya tidak mahu terlalu leka dengan bantuan sedangkan masih ada kudrat untuk bekerja.
“Sebelum ini, sebuah stesen televisyen (TV) pernah hubungi untuk beri bantuan, namun, saya tolak dan minta digantikan dengan peluang kerja.
“Saya tidak mahu naik ‘lemak’ dengan sumbangan, padahal saya sudah diberi kekuatan oleh Allah untuk bekerja.
“Jadi, saya tidak mahu menjadi orang yang meminta-minta,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru di sini, semalam.
Terdahulu, Ebby yang tampak sedikit uzur, dikunjungi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang meluangkan hampir setengah jam bertanya khabarnya.
Ebby berterima kasih kepada Fahmi atas kesudian berkunjung ke kediamannya.
Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid tidak menyangka tokoh disegani seperti Fahmi sanggup meluangkan waktu untuk bertanya khabar.
“Saya tidak tahu menteri yang datang untuk menyampaikan sumbangan kerana dimaklumkan, wakil FINAS yang mahu menziarah.
“Bagaimanapun, saya amat berbesar hati. Apakah yang beliau pandang pada saya, sedangkan, saya hanyalah insan kerdil.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur apabila ramai yang menunjukkan keprihatinan. Cuma saya tidak mahu minta banyak, sebenarnya, apa yang lebih hebat dan besar adalah doa sahaja,” katanya.
Ebby berkata, beliau sudah kembali bekerja dalam program Sepahtu Reunion, beberapa hari selepas keluar dari hospital.
Tambah Ebby, biarpun syarikat produksi melarangnya daripada bekerja, beliau enggan menyusahkan pihak terbabit.
“Saya tidak mahu menyusahkan syarikat produksi. Selagi masih mampu bekerja, saya teruskan.
“Cuma saya terpaksa tolak pelawaan program ke Jepun kerana tidak mahu menyusahkan syarikat produksi terbabit dan rakan-rakan andai berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, Ebby akan mengetahui keputusan ujian darah, bulan depan, bagi memastikan apakah dia memerlukan rawatan dialisis atau tidak.
“Saya akan berjumpa doktor bulan depan. Nanti, barulah saya tahu tahap kesihatan saya.
“Jika perlu jalani rawatan dialisis, Fahmi beritahu, beliau mahu bantu mempercepatkan proses pemasangan tapak bagi rawatan dialisis pada tangan,” katanya.
Ebby yang sebelum ini dikejarkan ke hospital selepas sukar bernafas, mengalami masalah buah pinggang, kencing manis, masalah saraf, darah tinggi, jantung dan prostat. – BOOM!
Sumber: BHOnline