Suami kepada Neelofa iaitu Pencetus Ummah (PU) Riz atau Haris Ismail tidak menafikan atau mengesahkan spekulasi mengenai isterinya itu sedang hamil anak kedua.
Haris ketika ditanya mengenai perkara tersebut bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada yang mendoakan dan mengambil berat terhadap dirinya dan isteri.
“Terima kasih saya ucapkan kepada yang bertanyakan soalan ini, mungkin dia ambil tahu kerana nak doakan yang terbaik.
“Jadi, kita pun ucapkan kepada semua doakanlah yang terbaik, apa-apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah SWT.
“Kita nak kata comfirm, nak kata tidak pun bukan di bawah kekuasaan kita…Itu semua sudah ditetapkan Allah,” katanya seperti yang dipaparkan menerusi temuramah bersama HLive!
Sementara itu, Neelofa juga senada dengan suaminya dan mengharapkan doa yang terbaik daripada semua.
Bercakap kepada Media Hiburan, Neelofa, 34, memberitahu, dia lebih selesa untuk membiarkan perubahan fizikal untuk menjawab segala persoalan mengenai kehamilannya.
“Perkara yang belum pasti, bagi saya tak payah kita hebah-hebahkan lagi. Sama macam perkahwinan dan kelahiran. Kita layan saja apa saja komen orang dan hargainya.
“Kalau saya hamil sekali pun, bila dah nampak perut sudah besar tu, maksudnya Insya-Allah (hamil). Tapi just go with the flow. Kalau hamil anak kedua, ketiga ke atau seterusnya ini juga pendirian saya,” katanya.
Neelofa ditemui ketika menghadiri kursus umrah bersama Omrah Travel yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Ahad di samping suaminya, Haris Ismail atau PU Riz.
Terdahulu, Neelofa dikatakan hamil anak kedua selepas video yang menampakkan perubahan pada bahagian perutnya (baby bump), menjadi tular di laman sosial.
Menerusi video yang dikongsi seorang pengguna TikTok, Neelofa turut dilihat memegang perut yang semakin membesar ketika memberi ucapan sempena ulang tahun kelahiran putera sulungnya, Muhammad Bilal yang pertama, baru-baru ini. – BOOM!
Sumber: HLive & Media Hiburan