Selepas Zul Ariffin dan Remy Ishak, tiba pula giliran Zizan Razak pula mengumumkan penarikan dirinya daripada saingan Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-34 (ABPBH34).
Zizan atau Muhammad Razizan Abdul Razak, 37, memaklumkan berita tersebut menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya semalam.
“Seiring usia dalam bidang seni, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada sebarang pencalonan.
“Saya percaya ABPBH kali Ini harus diraikan bersama bakat-bakat baharu yang bertanding,” tulisnya pada bahagian kapsyen.
Menurut pelawak dan pelakon filem Abang Long Fadil itu, pihak penganjur sudah sedia maklum akan penarikan dirinya.
Bintang realiti program Raja Lawak musim pertama tersebut turut berterima kasih kepada pihak penganjur serta para peminat yang setia memberikan sokongan.
Sepanjang pembabitan Zizan, dia pernah beberapa kali membawa pulang trofi Pelakon Komedi Popular dan Pengacara TV Popular.