Muncul dengan aksi luar biasa ketika mempersembahkan lagu Mainan dalam Anugerah Juara Lagu ke-37, penyanyi Naim Daniel mencetuskan kebimbangan ramai pihak.
Tinjauan BOOM! di Instagram (IG) Naim mendapati walaupun ramai yang memuji nyanyian terbalik atau ‘upside down’ itu, ada juga meluahkan rasa bimbang kerana aksi tersebut sangat berisiko.
“Scary! Bahaya sebab boleh pitam, silap-silap pengsan…Lima minit tu lama…Apapun respect sebab Naim boleh kawal suara dan menyanyi dengan baik.
“Walaupun ada pasukan profesional, persembahan Naim tetap berisiko. Tak pening ke tergantung macam tu?” antara komen yang ditinggalkan peminat pada ruangan komen.
Bagaimanapun, Naim ketika ditanya mengenai perasaannya selepas persembahan mencatat sejarah itu hanya berkata sejarah sudah tercipta.
“Untuk menyanyi terbalik selama lima minit, we’re making history. Terima kasih kepada semua,” jawabnya ringkas.
Persembahan ‘paling gila’ itu berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, pada malam Ahad, menyaksikan Naim menyampaikan lagu Mainan ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga sementara lirik ditulis Arisz Ab.
@boom.malaysia Semua orang risau tengok @Naim Daniel masa perform, tapi memang terbaik lahh persembahan Naim! #boom #boommalaysia #artismalaysia #artist #celebrity #star #idol #icon #fyp #influencer #inspirer #personality #viral #trending #news #current #sensation #hit #malaysia #ajl #naimdaniel ♬ original sound – Boom! Malaysia
Naim, sebelum ini pernah tampil dengan persembahan unik dan kreatif dengan berdiri di atas bola besar ketika AJL 34 pada 2020 dengan lagu Sumpah.
Kali kedua pada AJL 36 pada 2022, Naim memberi kelainan dengan duduk atas katil seperti pesakit jiwa yang juga terapung di udara.
Terdahulu, sebelum pertandingan berlangsung Naim menjanjikan persembahan ‘paling gila’ dan berani mati.
Bagaimanapun, Naim mengaku apa sahaja tindakannya di atas pentas perlu dilakukan dengan berjaga-jaga. – BOOM!