Hampir dua minggu kemelut rumah tangga Bella Astillah dan Aliff Aziz menjadi bualan hangat, penyanyi kelahiran Sabah itu tekad mahu melupakannya.
Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, lebih baik dia meraikan kejayaannya bersama Wani Kayrie meraih tempat ketiga dalam program Famili Duo musim kedua yang berakhir Ahad lalu.
“Rasanya banyak penjelasan sudah dibuat, maka saya tidak mahu lagi bercakap mengenai hal itu.
“Cukuplah, saya tak nak ulas apa-apa. Kami nak raikan kejayaan menerusi program ini. Lagipun, Aliff pun sudah beri penjelasan bagi pihaknya. Jadi kita tutup semua,” tegasnya menetapkan keputusan.
Bella berkata demikian bagi mengulas tindakannya memadam semua bukti perbualan bersama Sophia Albarakbah yang dikatakan telah mengganggu Aliff.
“Apapun, terima kasih buat semua yang mendoakan saya sekeluarga. Maaf andai ada salah silap.
“Saya nak fokus kepada kerjaya seni, terutama bidang nyanyian atau cuba meneroka peluang lain.
Sementara itu, di pentas akhir Famili Duo, Bella dan Wani berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 berserta trofi. – BOOM!