Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima pujian daripada pelayar laman sosial Instagram dan rakan-rakan selebriti selepas berkongsi rakaman video menyanyikan lagu klasik Tamil berjudul Munbe Vaa.
Siti menyanyikan lagu tersebut pada konsert A. R Rahman Secret of Success Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi (Sabtu).
Siti pada ruangan kapsyen juga berjanji akan menyunting semula rakaman video tersebut dan akan dikongsikan di saluran YouTubenya.
“Ini video yang KZ (panggilan untuk pengurus, Rozi Abdul Razak), saya repost buat kenangan di sini. Kalau video saya dah edit elok nanti, saya share lagi, maybe di Youtube channel saya nanti.
“Saya nervous juga tu, tapi happy sangat,” katanya teruja.
Di ruangan komen, rakan-rakan selebriti seperti Sherry Al-Hadad, Norman Hakim, Adira, Elly Mazlein, Min Yasmin, Zahida Rafik dan ramai lagi telah menyatakan rasa kagum mereka sebaik mendengar nyanyian Siti.
Selain itu peminat berbangsa India turut meninggalkan komen dan menyatakan rasa kagum selepas menonton persembahan Siti.
“I witnessed this performance live! First class performance which gets standing ovation from 70k audience! Proud of you Dato!,” kata Jegatheesrao.
“When your FAVOURITE @ctdk singer singing your FAVOURITE song in front of your
FAVOURITE @arrahman Oscar winning legend.. this is just DREAM,” tulis nesh_sj pula.“Bukan ais, batu pun boleh cair,” puji Kautham93 pula.
Siti dalam hantaran berbeza meluahkan rasa gembira kerana impiannya untuk berada sepentas dengan idolanya, AR Rahman, menjadi kenytaan.
“Malam sejuta kenangan, sebagai penyanyi, saya ada impian dan angan-angan namun saya jadikan sebagai harapan. Malam ini, harapan saya ingin sepentas dengan idola dan legenda muzik dari India @arrahman telah tercapai.
“Ini merupakan satu penghormatan but saya.
Berdebar tetapi dalam masa yang sama teruja, gembira, terharu dan bahagia. Melangkah tahun ke-27 saya di dalam industri muzik, membuka tirai tahun 2023, saya mulakan lembaran portfolio karier seni saya dengan catatan peribadi untuk impian yang menjadi kenyataan.“Terima kasih kepada semua penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil yang telah memberikan saya semangat dari mula menyanyi hingga ke akhir lagu Munbe Vaa,” katanya.
Konsert penyanyi, penerbit dan penulis lirik terkemuka dari India itu dihadiri lebih 60,000 penonton. – BOOM!