Selepas hampir sembilan tahun melayari perkahwinan, pelakon Puteri Sarah Liyana akhirnya sah memfailkan permohonan cerai terhadap suami iaitu pengarah Syamsul Yusof.
Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, berkata tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah itu dilihat signifikan kerana hampir dengan tarikh ulang tahun perkahwinan mereka.
“Syukur, cukuplah Sarah jadi isteri kepada Mohd Syamsul.
“Kita bermula (berkahwin) pada 8 Mac, kita habis pun 8 Mac.
“Tarikh prosiding 7 Mac itu signifikan kerana kebetulan 8 Mac adalah tarikh ulang tahun perkahwinan kesembilan kami,” katanya.
Susulan itu, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan 7 Mac depan sebagai hari sebutan kes bagi permohonan cerai berkenaan.
Sarah yang tiba kira-kira pukul 10.30 pagi ditemani dua orang adiknya serta diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.
Menurut aktres itu lagi, dia sudah cuba mempertahankan rumah tangga mereka, namun gagal. – BOOM!