Sesuatu yang sangat istimewa bakal menanti peminat muzik tempatan khususnya yang cukup menggemari seleksi lagu cinta dan melankolik.
Buat julung kali, ANS Diversified akan menganjurkan Konsert Patah Hati, sebuah persembahan ulung menggabungkan enam penyanyi ternama tanah air iaitu Ernie Zakri, Naim Daniel, Noh Salleh, Nastia, Aisha Retno dan Insomniacks.
Pengarah Projek, Ahmad Faizal Zulkipli berkata, konsert selama tiga jam itu dijadualkan berlangsung pada 15 Mac ini bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
“Sesuai dengan namanya, konsert mega ini direncanakan untuk menampilkan lagu-lagu cinta pelbagai nuansa yang menyentuh perasaan.
“Ia bukan sahaja lagu hit masa kini, tetapi juga koleksi malar segar sepanjang zaman dalam versi lebih segar.
“Boleh dikatakan, konsep persembahan seperti ini belum pernah dibuat dalam sebarang penganjuran konsert terdahulu dan pastinya menjanjikan kepuasan kepada penonton.
“Artis-artis yang terbabit merupakan kombinasi penyanyi solo dan berkumpulan, bahkan mereka memiliki jutaan pengikut di Malaysia, Singapura dan Brunei,“ kata Faizal.
Acara dinanti-nantikan itu turut mendapat kerjasama rakan strategik iaitu Yayasan Digital dan Jemz Group, malah disokong oleh Oh My Media serta Monyok.
Pada malam konsert itu nanti, nyanyian barisan artis akan diiringi tujuh pemuzik profesionkal dan dua penyanyi latar di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Shahakam Mokhtar.
Bukan itu sahaja, atmosfera di sekitar dewan akan diperindahkan dengan elemen audio visual, malah dilengkapi teknik pencahayaan yang unik dan menarik.
Kata Faizal lagi, pihaknya yakin kesemua artis terlibat tiada masalah untuk menyanyi secara langsung di hadapan ribuan audiens kerana mereka berpengalaman luas beraksi di pentas besar. – BOOM!