Pelakon Zarina Zainuddin menerusi sebuah wawancara program MUM (Mak Untuk Malaysia) bertajuk ‘Korban Kasih Zarina Zainuddin’ mengakui tidak mudah bergelar isteri kedua.
Katanya, untuk memperoleh cinta daripada lelaki yang bergelar suami orang, banyak dugaan dan rintangan perlu dilalui.
Dia turut menyarankan para wanita supaya elakkan diri daripada bercinta dengan lelaki yang sudah berkahwin kerana akan merana suatu hari nanti adalah wanita.
“Bukan senang nak kahwin dengan suami orang. Kalau boleh jangan jatuh cinta pada suami orang sebab kesian pada diri kita sebenarnya.
“Sebab kita kena hidup merana dulu. Bukan senang nak dapatkan cinta lelaki yang sudah berkahwin sebab dia sudah ada istimewa sebenarnya tetapi kerana dia dapat bunga yang baru konon-kononnya dia akan cakap kita yang indah,” katanya.
Menerusi wawancara berdurasi satu jam yang disiarkan di platform digital Sinar Harian itu, Zarina turut mengakui pernah hidup ‘makan hati berulam jantung’.
Dia yang juga pemegang status isteri kedua berkata suaminya, Datuk Seri Abdul Raihan Wan Jaafar jarang menghabiskan masa di rumah.
Zarina juga terpaksa menyimpan rahsia dirinya sudah berumah tangga ketika perkahwinan sudah mencecah 21 tahun demi menjaga hati isteri pertama.
@lerawda Zarina Zainuddin mohon restu isteri pertama #perkahwinan ♬ Di Luar Kemampuanku – Ukays
“Makan hati berulam jantung. Bukan senang sebab suami kalau dah kahwin dengan kita, dia akan cuba untuk pujuk hati isteri pertama balik sebab dia rasa bersalah. Jadi kita yang akan makan hati.
“Saya stress tetapi perlu sabar dan kuat. Alhamdulillah segalanya menjadi baik selepas saya mengandung.
“Bahagia itu sebenarnya kita yang cipta, kita cipta kebahagiaan kita sendiri. Jangan tamak sebab tahu saya hidup bermadu maka saya perlu berkongsi.
“Ada orang marah sebab ambil suami orang, jadi kita kena sedar diri kita sudah ambil hak orang, jangan kita pula lebih-lebih,” katanya.
Imbas kembali detik sebelum berkahwin dengan suami, Zarina berkata dia meletakkan syarat supaya suaminya mendapatkan keizinan daripada isteri pertama terlebih dahulu.
“Saya tak nak kahwin dengan suami orang dan tak nak jadi perampas. Jadi saya katakan kepada suami sekiranya ikhlas bawalah Ina (Zarina) pergi jumpa kepada isteri pertama abang.
“Saya katakan saya sendiri minta izin daripada isteri abang. Jika tidak diizinkan saya tidak akan kahwin dengan suami orang,” ujarnya.
Menerusi wawancara itu juga, Zarina memuji sikap suaminya dan menganggap dia sebagai lelaki budiman kerana berani membawa dia bertemu isteri pertama untuk meminta izin.
Selepas pertemuan tersebut, isteri pertama telah menelefon ibunya dan memberitahu sudah memberi keizinan kepada suami untuk menikahinya. –BOOM!