Penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam yang juga bapa kepada Syamsul Yusof enggan mengambil tahu hal besannya, dramatis veteran Kazar Saisi.
Yusof berkata, tidak ada keperluan untuk mengadakan perbincangan mahupun bertemu dengan Kazar, selain tidak rapat dengan pelakon tersebut.
“Tiada apa yang perlu dibincang. Nasi sudah jadi bubur.
“Saya tak mahu ambil tahu hal Kazar. Lagipun, kami memang tak rapat. Kalau jumpa di luar, setakat tegur sahaja.
“Selama lima tahun lalu, apabila isu ini timbul, saya tidak pernah tanya pun kepadanya,” katanya.
Jelasnya lagi, dia mengambil pendekatan demikian menghormati pendirian isteri yang telah banyak terluk sejak kontroversi mengenai Syamsul dan Ira heboh diperkatakan ramai.
“Saya tak boleh nak komen kerana ini membabitkan isteri saya. Saya tahu, dia sudah cukup terluka dengan apa yang berlaku.
“Rasanya, cukuplah kenyataan yang keluar dari mulut saya. Walau apapun yang terjadi, Syamsul tetap anak saya.
“Sebagai ayah, saya mendoakan yang terbaik untuknya,” luahnya.
Jumaat lalu, Syamsul menamatkan spekulasi apabila memuat naik video di IG mengesahkan dirinya sudah berkahwin dua dengan Ira di Thailand berwalikan Kazar. – BOOM!