Entah di mana silapnya, boleh dikatakan Taufiq Hanafi sudah lama mencanai bakat seninya dalam industri lakonan tempatan.
Namun wajahnya kadang-kadang saja kelihatan terpampang berlakon di drama TV berbanding filem di layar lebar.
Pernah membintangi naskhah pecah panggung seperti Ola Bola dan Paskal, Taufiq akur barangkali rezeki lakonannya terarah ke bidang perfileman.
“Bukannya saya tak nak berlakon drama, cuma pihak produksi yang tak panggil saya (sambil tertawa kecil).
“Siapa saya hendak bersikap memilih? Sampaikan saya sendiri pernah naik ke pejabat produksi bertanyakan soal job drama.
“Malangnya, tiada khabar berita sampai ke sudah,” luahnya di samping memaklumkan mata pencariannya seratus-peratus bergantung terhadap bidang lakonan.
Berbicara lanjut, perkara pertama yang ingin dilakukannya sementelah aktiviti merentas sempadan dibenarkan adalah pulang ke kampung halaman yang terletak di Pontian, Johor.
Taufiq atau Mohamad Taufiq Mohd Hanafi, 30, memberitahu, dia terlalu rindukan kedua-dua orang tuanya terutama menu kampung air tangan ibunda tercinta.
“Dah dekat dua tahun saya tak balik. Rindukan mak dan masakannya.
“Kalau setakat makanan kering memang selalu dia kirim tetapi rasanya lain berbanding masakan panas dari dapur mak,” kongsinya dalam nada penuh manja.