Semalam, penyanyi dan pelakon Dafi Ismail Sabri meminta pengikutnya di laman Instagram supaya membuat laporan membabitkan pemilik akaun palsu @dafiismailsabri_.
Dafi menerusi sebuah hantaran memberitahu, dia menyedari mengenai perkara tersebut selepas ramai yang bertanya tentang kewujudan akaun palsu terbabit.
“Banyak pula orang yang message membabitkan akaun @dafiismailsabri_ ini.
“It’s not me, it’s fake account, tolong report, terima kasih guys,” tulisnya.
Perkongsian tersebut telah mendapat maklum balas daripada ramai pengikutnya di laman media sosial tersebut.
Susulan itu, BOOM! sempat meninjau akaun pemilik palsu yang menyamar sebagai penyanyi tersebut dan mendapati akaun media sosial tersebut sudah tidak wujud.
Dafi ketika dihubungi BOOM! berkata, dia berasa lega kerana penyamar mungkin boleh memuat naik kandungan tidak benar atau melakukan penipuan.
Dia juga turut mengucapkan terima kasih kepada pengikut yang telah melaporkan akaun palsu tersebut.
“Lega bila dapat tahu akaun itu sudah tiada. Saya bimbang sekiranya penyamar mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan atau memuat naik kandungan tidak benar atau yang bukan-bukan.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua yang telah melaporkan akaun tersebut kepada Instagram sehingga ia dinyahkan dari platform tersebut,” katanya.
Selain itu, Dafi turut berpesan kepada semua agar berhati-hati dengan ‘scammer’ atau penjenayah siber yang sedang aktif mencari mangsa di luar sana.
“Saya juga ingin berpesan kepada semua agar sentiasa peka dengan ‘scammer’ dan penjenayah siber yang sentiasa mengintai peluang untuk mengambil kesempatan ke atas orang lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dafi bakal muncul dalam filem aksi ketenteraan, Malbatt Misi Bakara yang dijangka ditayangkan pada tahun ini.
Selain Dafi, filem itu turut menampilkan Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi, Taufiq Hanafi, Ikhram Juhari, Safwan Nazri, Gambit Saifullah dan Theebaan G. – BOOM!