Penyanyi yang juga penceramah motivasi terkenal, Datuk Fazley Yaakob baru-baru ini memuat naik beberapa keping fotonya berlenggeng di media sosial.
Tidak berniat mahu mencetuskan sensasi, namun tindakan Fazley, 43, itu sekadar ingin memberitahu kepada para pengikutnya bahawa faktor usia bukan penghalang untuk seseorang menguruskan badan.
“Ketika isteri mengandungkan anak keempat kami iaitu Alayna Selma yang kini berusia empat tahun, berat badan saya mula naik mendadak.
“Masakan tidak, masa dia makan, saya teman makan sekali. Kalau dia tak habis, saya yang tolong habiskan.
“Sudahnya, apabila dia bersalin, saya pula nampak macam pregnant,” selorohnya menerusi perkongsian di ruangan kapsyen.
Jelas Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fazli Yaakob, ekoran kenaikan berat badannya, dia nekad mengamalkan gaya hidup sihat untuk kembali dapatkan berat ideal.
“Semua orang nak kurus tetapi tak semua orang berjaya realisasikan impian mereka dengan jayanya.
“Apatah lagi untuk kekal kurus atau sekurang-kurangnya kelihatan kemas,” ujarnya.
Pada peringkat awal, Fazley memaklumkan, dia cuma mengambil makanan seimbang tanpa melakukan sebarang rutin senaman.
“Memang saya berjaya kurangkan berat badan sehingga 30 kilogram tetapi keadaan fizikal saya nampak menggelebeh.
“Disebabkan itu, saya lakukan senaman incorporate cardio dan weight lifting sambil jaga pemakanan.
“Alhamdulillah, walaupun perlahan tetapi akhirnya saya berjaya dapatkan bentuk badan diinginkan,” kongsinya.
Tambah Fazley, terdapat dua faktor yang menjadi cabaran terbesar sepanjang proses menurunkan berat badan.
“Pertama adalah disebabkan usia dan yang kedua adalah kerjaya sebagai cef.
“Setiap hari saya kena rasa menu yang dimasak, sebab itulah progress tak selaju diharapkan,” ceritanya.
Justeru, Fazley berharap perkongsiannya itu dapat memberi inspirasi kepada para peminat yang berhasrat memiliki bentuk tubuh menarik.