Penyanyi genit, Tajul Arif yang sering berduet dengan Wany Hasrita kini tampil mempersembahkan lagu duet terbaharunya berjudul Malam Semakin Dingin.
Lebih menarik, Tajul membuat keputusan bertukar pasangan apabila bergandingan dengan rakan penyanyi naungan sama di bawah label FMC Music iaitu Afieq Shazwan.
Memetik kenyataan akhbar, Tajul menzahirkan rasa syukurnya atas kolaborasi tersebut, namun pada masa sama sukar menahan sebak dek kerinduan yang membungkam terhadap arwah abangnya, Allahyarham Achik Spin.
“Saya sangat berterima kasih kepada Afieq kerana banyak membantu memudahkan proses rakaman walaupun lagu ini agak mencabar untuk dinyanyikan”
“Sewaktu merakamkan lagu ini, perasaan sebak dan rindu terhadap arwah amat mendalam waima semasa hayatnya, kami tidak terlalu rapat kerana dia sentiasa sibuk dengan kerjayanya,” luah Tajul.
Meski sedarah sedaging, Tajul menyifatkan kemampuan vokalnya berbeza dengan Achik selaku penyanyi asal.
“Saya mengangumi suaranya ketika menyampaikan lagu ini. Apapun, diharap pendengar tidak membanding-bandingkan vokal kami berdua,” pintanya.
Sementara itu, Afieq tidak mampu menyembunyikan keterujaan menyanyikan lagu kegemarannya bersama Tajul.
“Sebelum ini, saya pernah cover lagu ini dan memuat naik di media sosial hingga mencecah jumlah tontonan yang tinggi.
“Setelah mendapat reaksi positif daripada pendengar, ia menyemarakkan lagi semangat saya untuk berduet dengan Tajul.
“Tanpa ragu-ragu, saya terus kata yes!” cerita Afieq saat pihak FMC menawarkan peluang dinanti-nantikannya.