Kumpulan Caliph Busker merayu agar penganjur sebuah acara di Pulau Pinang melangsaikan bayaran persembahan mereka seperti yang dijanjikan.
Wakil kumpulan itu Fendy Adlun berkata persembahan sudah dibuat selama dua hari pada 9 dan 10 Disember lalu dan mereka bertolak ansur untuk tidak mengambil wang pendahuluan atas dasar percaya.
Malangnya dia menjelaskan, pihak penganjur seolah-olah mengelak menunaikan tanggungjawab mereka dengan memberikan pelbagai alasan.
Fendi dan ahli kumpulan itu yang merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU) sangat memerlukan wang berkenaan kerana mereka bergantung sepenuhnya dengan pendapatan persembahan pentas dan busking.
“Kami sudah bertolak ansur tidak memaksa memberi deposit yang sepatutnya kami ambil, sekarang kami juga mohon agar pihak berkenaan dapat membayar paling tidak separuh dahulu kepada kami.
“Sampai hati kau aniaya orang buta. Kalau aku boleh kerja macam kau, tak apa. Tapi inilah kerja yang kami ada, buat persembahan pentas atau busking.
“Busking pun kau faham-fahamlah musim hujan sekarang. Kadang-kadang busking pun tak dapat apa-apa. Jadi, bila ada show barulah sedap sikit,” katanya.
Fendy berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Difahamkan, pihak penganjur persembahan berkenaan menjanjikan bayaran sebanyak RM10,000 kepada kumpulan berkenaan.
Dalam pada itu, Fendy memberitahu demi menjayakan acara tersebut, mereka menolak beberapa undangan lain kerana percayakan penganjur berkenaan.
Malah dedahnya, ada di antara mereka yang pergi ke Pulau Pinang tanpa sebarang wang dalam poket kerana mengharapkan bayaran dijanjikan selepas selesai persembahan.
Selain Fendy, Caliph Buskers dianggotai Azmi Saat sebagai vokalis, Zaki Ismail (pemain gitar bass) dan Nirwan Zainalabidin (pemain gitar). – BOOM!