Selebriti Hollywood, Kim Kardashian menjadi buah mulut peminat dari seluruh dunia sebaik muncul dengan gaya unik dan pelik tatkala berlangsungnya Met Gala 2021 di New York, Amerika Syarikat.
Kim atau nama sebenarnya Kimberly Noel Kardashian, 41, tampil mengenakan busana rekaan Balenciaga serba hitam dari hujung rambut hingga ke hujung kaki termasuklah menutup keseluruhan wajahnya.
Gaya uniknya itu lantas tular di media sosial dalam sekelip mata saat dia menjejakkan kaki di karpet merah dalam acara paling dinanti-nanti pemerhati fesyen seantero dunia itu.
Bahkan ramai yang tertanya-tanya cara Kim melihat dan bernafas di sebalik topeng muka yang kelihatan melekap dan ketat itu.
Selain Kim, gaya fesyen ditampilkan para selebriti lain turut mendapat perhatian termasuk Rihanna yang hadir memakai pakaian hitam ala-ala selimut.
Met Gala adalah acara kebajikan bagi mengumpul dana, di samping menjadi acara fesyen terbesar dunia yang hanya dihadiri golongan selebriti ternama dan bangsawan.
Acara tahunan tersebut lazimnya dianjurkan pada hari Isnin minggu pertama dalam bulan Mei.
Namun tahun ini, acara itu tergendala gara-gara pandemik dan dianjak ke bulan September.