Selepas berjaya memasuki senarai tiga stesen radio paling popular di Malaysia, Suria FM bakal mencipta sejarah tersendiri sebaik lembaran 2023 dibuka.
Ini kerana, stesen berkenaan bakal bersiaran di atas kapal mewah mengikuti satu pelayaran eksklusif pada Januari depan.
Selaku Pengurus Besar, Roslinda Abd Majid berkata, usaha itu adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-15 Suria FM dengan kerjasama Resorts World Cruises.
“Pelayaran selama empat hari tiga malam bersama Genting Dream Cruise pada 9 Januari itu nanti turut mendukung misi sebagai radio pertama ke udara di atas kapal persiaran sambil berlayar.
“24 November ini genap usia 15 tahun Suria FM mewarnai industri penyiaran radio tanah air dan 2022 merupakan tahun kami meraih pencapaian paling luar biasa merangkumi rating, ranking serta perolehan keseluruhan.
“Semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan padu daripada pendengar setia, pihak penaja serta rakan media.
“Justeru, sempena kejayaan kali ini, kami membuat kelainan dengan meraikan sambutan ulang tahun tersebut sambil berlayar dan bersiaran langsung dari atas kapal persiaran mewah, Genting Dream,” katanya yang dikenali dengan nama DJ Lin.
Lebih menarik, lima pendengar bertuah juga berpeluang menikmati pengalaman berlayar bersama kami, di samping melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka, rock climbing, golf, sukan air, karaoke serta persembahan istimewa daripada tiga penyanyi popular iaitu Siti Nordiana, Andi Bernadee dan Amir Masdi.
Sementara itu, Naib Presiden Jualan Resorts World Cruises, Cynthia Lee mengakui, Suria FM dipilih berdasarkan kemampuan mereka menarik jutaan pendengar Melayu, sekali gus sejajar dengan pakej mesra Muslim ditawarkan pihaknya.
“Kami memilih dan bersetuju untuk bekerjasama dengan Suria FM disebabkan pencapaian mereka, malah saya yakin jalinan ini akan berterusan ke masa depan,” katanya.
Terdahulu Suria FM mencatat pertambahan jumlah pendengar melebihi 3.5 juta seminggu dan melonjakkan Suria FM ke tangga ketiga.
“Terima kasih kepada semua pendengar setia yang sentiasa menyokong kami. Anda adalah penyebab Suria FM kekal bertahan dan terus doakan kami agar sentiasa relevan,” akhiri DJ Lin. – BOOM!