Pelakon cantik, Mimi Lana mengejutkan ramai peminatnya selepas berkongsi beberapa keping foto di Instagram memperlihatkan tangannya yang dipenuhi inai.
Hal itu sekali gus mencetus spekulasi dalam kalangan warganet yang beranggapan Mimi bakal menamatkan zaman bujangnya bersama kekasih hati yang juga pelakon popular, Syafiq Kyle.
Di ruangan komen, kelihatan ramai rakan selebriti menulis ucapan tahniah buat Mimi atau Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 26 serta turut kelihatan mereka menyebut nama Syafiq.
Bagaimanapun, masih tiada kenyataan rasmi keluar daripada mulut Mimi mahupun Syafiq mengesahkan sama ada benar atau tidak mereka bakal diijabkabulkan.
Menyingkap kisah percintaan pasangan merpati dua sejoli itu, mereka telah menjalin hubungan selama lima tahun sebelum terputus seketika pada penghujung 2020.
Namun ikatan cinta antara mereka masih kuat apabila hubungan itu kembali terjalin.
Andai benar mereka bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat, sekalung tahniah warga kerja Boom! ucapkan dan mendoakan segala urusan dipermudahkan.