Bagi penyokong tegar Neon Band yang hit menerusi lagu Hingga Akhir Nanti, pastinya sedia maklum tentang berita pertukaran vokalis kumpulan berkenaan.
Jika sebelum ini mereka mempertaruhkan kredibiliti milik Ezwan Ariff, namun posisi tersebut telah diambil alih oleh pendatang baharu dikenali sebagai Boy Bach.
Boy atau Mohd Fidhaus Mahadzir, 33, merupakan finalis program realiti Suara Viral yang disiarkan di saluran Astro Ria tidak lama dahulu.
“Tawaran mengisi kekosongan ditinggalkan Ezwan diterima ketika saya bermain muzik (jamming) bersama ahli kumpulan ini.
“Pada masa itu, saya juga sedang mencari karya sesuai untuk dijadikan single pertama.
“Justeru, sebaik Ezwan mengundur diri untuk bergerak solo, ahli lain sepakat menawarkan peluang ini kepada saya,” kongsinya.
Simbolik perkenalan, Neon Band mempersembahkan lagu Aku Budak Boy yang merupakan saduran (cover) kepada karya asal nyanyian penyanyi remaja, Sue Khaizar.
Bercerita lanjut tentang lagu tersebut, segalanya bermula ketika wakil syarikat Nova Music terdengar nyanyian Boy menyampaikan lagu Aku Budak Girl.
“Sejurus mendapat persetujuan pengkarya asal, lagu ini digubah khas menjadi gimik pengenalan daripada saya selaku vokalis baharu yang kebetulan dipanggil Boy.
“Ikut perancangan awal, kami mahu tampilkan sebuah single baharu pada Jun lalu tetapi terpaksa ditunda gara-gara pandemik.
“Lagipun, dalam situasi sekarang, sukar untuk menyaingi penyanyi sedia ada. Maka, lebih baik kami pertaruhkan lagu ini dulu,” jelas Boy.
Beralih topik perbualan, dia yang juga abang kepada Sarah Fazny dikatakan cuba menumpang populariti adiknya yang lebih awal bergelar penyanyi.
“Masalahnya, popular ke? Saya tak rasakan kami berdua ini dikenali apatah lagi popular.
“Jadi tidak timbul isu siapa tumpang populariti siapa,” selorohnya mengulas ringkas.
Tambah Boy, dia sendiri tidak menjangka akan menceburkan diri dalam bidang seni suara sebab bertugas sebagai juruteknik.
“Selepas Suara Viral, barulah saya aktif menyanyi. Malah nak mengaku diri sebagai penyanyi pun saya berasa kekok dan segan.
“Tetapi sedikit sebanyak, memang terkena tempias Sarah kerana dia sudah tujuh tahun bertapak dalam industri muzik ini sejak menyertai Mentor Legend pada 2014,” katanya.