Datuk Nora Ariffin akui berasa sebak saat menerima skrol mewakili arwah anak keduanya, Allahyarham Muhammad Syakir Alif Johan di majlis konvokesyen yang berlangsung semalam.
Menerusi perkongsian video di platform media sosial, Nora berkesempatan menceritakan keperibadian dimiliki Alif yang disifatkannya banyak membantunya dari sudut kreatif.
“Alif antara anak yang sentiasa mengambil berat tentang saya, terutama selepas arwah suami, Johan Nawawi meninggal dunia pada 2017.
“Setiap hari dia akan bertanya khabar melalui WhatsApp. Tidak dinafikan pemergiannya adalah satu kehilangan buat kami sekeluarga,” luahnya menahan sebak.
Tambahnya, Alif juga amat rapat dengan adik-beradiknya yang lain dan berharap mereka dapat jadikan arwah sebagai sumber inspirasi untuk meneruskan legasi Allahyarham Johan dalam bidang seni.
Untuk rekod, Alif yang merupakan graduan jurusan Diploma Perfileman di Fakulti Filem, Teater dan Animasi di UiTM Puncak Perdana itu meninggal dunia pada 14 Disember 2019 setelah tiba-tiba rebah di rumahnya. – BOOM!