Semua sedia maklum, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV-9) sudah pun melabuhkan tirainya dengan menobatkan Jaclyn Victor sebagai juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM100,000.
Namun di laman Twitter, ramai mempertikaikan keputusan juri yang menyaksikan Shila Amzah dan Hazrul Nizam menduduki tempat ketiga serta keenam.
Segelintir mereka mendakwa, bagaimana Bob Yusof boleh menjadi naib juara sedangkan penyanyi itu melihat lirik di monitor berbanding Shila yang menghafal kesemuanya.
Dek kerana itu, peminat menyifatkan penjurian tersebut tidak adil, malah berpendapat jika Shila berada dalam keadaan sihat, sudah pasti mampu menandingi Jaclyn.
Dalam pada itu, ada juga antara warganet tidak berpuas hati apabila Hazrul berada di kedudukan terakhir dalam kalangan finalis.
Kata mereka, Hazrul telah melakukan yang terbaik pada pusingan pertama dan turut dilihat menyerlah di pusingan kedua jika dibandingkan dengan kumpulan VE.
Warganet cukup yakin, persembahan solo penyanyi berasal dari Singapura itu telah membuktikan Hazrul tidak selayaknya berada di tempat terakhir. – BOOM!