Program realiti popular Gegar Vaganza musim kesembilan (GV-9), berbaki seminggu sahaja lagi untuk diumumkan juara edisi terbaharu.
Malangnya, hasrat dua peserta bervokal tinggi, Dina Nadzir dan Fuad Rahman terhenti di episod separuh akhir malam ini setelah kedua-duanya menghuni tangga terbawah.
Dengan kedudukan tersebut, ia sekali gus menyaksikan dua penyanyi berpengalaman berkenaan disingkirkan dari pentas rancangan itu sebelum tibanya detik kemuncak pada minggu hadapan.
Dina menerusi segmen solo menyanyikan lagu Bukan Dia Tapi Aku mendapat markah sebanyak 59.20 peratus, manakala Fuad memperoleh 58.30% setelah mempertaruhkan lagu Di Alam Fana Cinta.
Sementara itu, enam peserta lain, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Bob Yusof, Tomok, Hazrul Nizam dan VE berjaya melangkah ke peringkat akhir bagi merebut kejuaraan seterusnya. – BOOM!