Akhirnya penyanyi legenda, Zaiton Sameon menarik nafas lega apabila menerima kad perakuan berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori fizikal.
Zaiton, 66, menerima kad tersebut daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan dalam satu majlis khas yang diadakan baru-baru ini.
Acara berkenaan turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan, Che Samsuzuki Che Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun.
“Saya sah OKU dan dengan adanya kad ini, syukur Alhamdulillah kerana saya boleh memohon bantuan yang sesuai,” katanya.
Penyanyi lagu malar segar Menaruh Harapan itu turut berharap agar impiannya memiliki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur menjadi kenyataan.
“Saya kini menyewa di Ampang dan terikat dengan bayaran RM800 sebulan. Bagaimanapun, saya sering lewat melunaskan bayaran kerana masalah kewangan.
“Saya tidak mempunyai pendapatan tetap, selain tawaran menyanyi yang semakin berkurangan.
“Sebelum ini, saya pernah memohon bantuan PPR, tetapi ditolak atas alasan tiada pendapatan tetap,” katanya.
Terdahulu, Zaiton layak menerima status OKU kategori fizikal selepas disahkan mengalami trauma kecederaan otak oleh pihak hospital berikutan kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya, namun telah mengorbankan anaknya, Azirwan Abu Bakar pada 1990.
Bercerita lanjut, Zaiton berkata, status itu juga memudahkannya untuk menjalani kehidupan yang selama ini serba kekurangan kerana tiada tempat bergantung.
“Saya tidak punya siapa-siapa dan hanya bergantung harap kepada anak angkat, Che Sikah Ismail yang menggalas tanggungjawab menjaga saya.
“Lega dengan pemberian status ini kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang saya tanggung selama ini,” katanya.
Sementara itu, Che Samsuzuki memaklumkan, pemberian status tersebut berdasarkan pengesahan pihak hospital tentang keadaan penyanyi itu selepas pemeriksaan dibuat. – BOOM!