Juri profesional dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat berpendapat, dia tidak ambil pusing komen netizen yang bercakap buruk tentang dirinya.
Memilih aura positif, dia yakin dan percaya kepada hak masing-masing dalam menentukan pilihan yang dibuat dalam semua aspek kehidupan.
BACA: “Memang Cantik, Tapi Tak Sesuai Dengan Usia!” – Pakaian Seksi Syafinaz Selamat Ditegur Netizen
“Saya tidak perlukan orang untuk beritahu saya apa patut dibuat.
“Saya mahu hidup yang gembira tanpa memerlukan nasihat daripada orang lain, terutama tentang apa yang perlu saya lakukan. Kalau suka, ikut. Kalau tidak suka, ‘just swipe’ (abaikan).
“Sebenarnya, beginilah saya dari dahulu sampai sekarang. Usia saya bakal mencecah 50 pada tahun hadapan. Saya tidak mahu hidup dikongkong oleh orang lain.
“Kalau anda suka dan gembira dengan penampilan saya, terpulang. Tetapi, kalau tidak gembira, abaikan,” katanya.
Pensyarah University Teknologi MARA itu berkata demikian ketika ditanya mengenai netizen yang kurang senang dengan fesyennya pada malam suku akhir Gegar Vaganza Musim ke-9 (GV9) Ahad lalu.
“Semuanya pilihan kita sendiri. Nak komen pun jika perlu sahaja. Kalau rasa tidak perlu, jangan komen apa-apa. Macam saya sendiri, perlukah saya balas semua komen orang?” katanya.
Bercakap tentang penampilan dan gaya fesyennya yang sering mencuri tumpuan netizen pada setiap konsert mingguan GV9, Syafinaz menjelaskan, dia dibantu pasukan yang dipercayai dan selesa bekerjasama.
Pada persaingan minggu kesembilan itu, Syafinaz menggayakan busana rekaan Ashley Wong, namun material digunakan seolah-olah menampakkan kulit pada bahagian dada dan lengan menyebabkan segelintir pihak kurang selesa dengan pemilihan pakaian itu.
Dalam pada itu, Syafinaz mengakui selesa dengan pengacara GV9 Nabil Ahmad dan Elly Mazlien sehingga membuatkan dirinya dilihat semakin bijak berjenaka.
“Saya selesa dengan mereka dan sebenarnya inilah saya. Saya memang begini kelakar dan senang terhibur,” katanya. – BOOM!