Kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN), bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 bagi industri dan kreatif, bermula Khamis ini.
Menerusi satu kenyataan hari ini, berita baik itu diharap dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat seni, tetapi tertakluk kepada SOP digariskan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelonggaran itu juga bakal membabitkan lebih 19,000 syarikat berkaitan industri berkenaan.
“Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini bergantung kepada syarat SOP yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ia termasuk hanya penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis dibenarkan.
“Kelonggaran ini juga diberi berasaskan faktor terdapat negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap vaksin atau mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya.
Terdahulu, keputusan itu dibuat berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada minggu lalu.