Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan atau betina.
Begitulah jawapan diberikan bakat baharu, Yusry Rahman sebaik diaju soalan tentang persediaannya berdepan situasi ditipu sesiapa yang cuba ambil kesempatan ke atasnya.
“Bagi saya, kalau terima kiriman mesej yang berkait rapat soal kerja dan mendatangkan duit, saya okey sahaja.
“Tapi kalau mesej itu meragukan dan mengarut atau sekadar nak main-main, saya tidak akan balas,” ujarnya menetapkan pendirian.
Mengulas penglibatannya menerusi pertandingan Mister World Malaysia 2022 (MWM 2022) baru-baru ini, Yusry akui itu adalah percubaannya untuk menceburi bidang seni.
“Saya bekerja sebagai mekanik di bengkel motosikal dan jadi hos bagi kempen promosi TikTok.
“Tujuan saya melibatkan diri di pentas peragaan MWM 2022 sebab nak buktikan seorang mekanik motor juga boleh bergelar peragawan.
“Pada masa sama nak timba pengalaman di lapangan berkaitan seni, sekali gus mengasah kemahiran perhubungan awam,” jelasnya. – BOOM!