Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias menarik diri daripada bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen Larut.
Tindakan itu berlaku kurang daripada 24 jam selepas BN mengumumkan calon untuk PRU15.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerusi Mohd. Kazim digantikan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd. Shafiq Fhadly Mahmud.
“Mohd. Shafiq menggantikan Mohd. Kazim yang membuat keputusan menarik diri,” katanya.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pencalonan Ustaz Kazim pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Tokoh agama itu dipilih berdasarkan populariti dan pengaruh di negeri Perak serta dianggap sesuai untuk berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin di Larut. – BOOM!