Diam-diam pelakon Meerqeen, 21, mendapat tawaran sebagai hero bagi drama web untuk promosi Bank Rakyat Indonesia (BRI).
Drama Modus Operandi, arahan pengarah Makbul Mubarak yang menjalani penggambaran selama seminggu di Jakarta turut dibintangi Krito Immanuel, Yusuf Mahardika, Diandra Agatha dan Maudy Effrosina.
“Sebelum ini, saya ke sana untuk bertemu dengan peminat dan memenuhi pelbagai undangan rancangan TV. Rentetan daripada kunjungan pertama itu, lebih banyak rezeki mula diperoleh.
“Sudah pasti sebagai pelakon baharu, saya gembira dengan tawaran yang datang.
“Mereka nampak sesuatu dalam diri saya dan ia penghormatan besar terutama apabila dapat bekerjasama dengan BRI,” katanya.
Nama Meerqeen mula mendapat perhatian peminat seberang sementelah terbabit dalam drama rantain Melur Untuk Firdaus, lakonannya bersama Anna Jobling yang mencipta fenomena di sana.
Jelasnya, Modus Operandi yang akan disiar menerusi YouTube BRI pada 4 November ini bukan sahaja membuka langkah pertamanya ke sana, tetapi juga memberi peluang untuk bekerjasama dengan produksi dari Indonesia.
Meerqeen bersyukur kerana pada waktu sama turut mendapat beberapa tawaran lain dan masih mempertimbangkannya.
Namun setakat ini katanya, dia tertarik dengan sebuah produksi yang berminat menggunakan khidmatnya sebagai pengacara untuk sebuah program TV. – BOOM!