Penyanyi dan penulis lirik, Mafarikha Akhir dimasukkan ke wad kritikal sebuah pusat perubatan di Kajang, Selangor selepas disahkan dijangkiti Covid-19 tahap lima.
Memetik laporan Harian Metro, Mafarikha yang mesra disapa Mafa itu berkemungkinan akan ditidurkan.
Baru sahaja pulang dari Istanbul, Turkiye bersama suami, Muhammad Zariq Noorulyusaa, dia memaklumkan, dirinya kini berada dalam keadaan baik dan perlu berpuasa.
“Sekarang, saya dijangkiti Covid-19 tahap lima. Doakan saya tak ditidurkan. Lapar tetapi doktor suruh puasa, tiga hari tak dapat makan sebab semuanya ditolak oleh badan. Boleh minum saja,” ujar penyanyi berusia 29 tahun berkenaan.
Disoal mengenai perkembangan terkini, Mafa berkata, setakat ini bahagian paru-paru dan perut dipenuhi air selain buah pinggang pun terganggu.
Tambahnya, dia mengalami muntah-muntah serta badan menggigil semasa tiga hari terakhir berada di Istanbul.
Pada mulanya, pelatun lagu Buatku Di Sana nyanyian bersama Ronnie Hyperact itu menganggap ia hanyalah simptom keracunan makanan.
“Saya ingatkan keracunan makanan dan tiga hari terakhir di sana, saya hanya berehat tidak ke mana-mana.
“Setiba di Malaysia hari ini, saya terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Mulanya doktor maklumkan ia di tahap empat. Ini kali pertama saya dijangkiti Covid-19,” jelasnya.
Di kesempatan sama, naib juara Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama itu memohon semua pihak mendoakan kesembuhannya dan pulih seperti sediakala. – BOOM!