Teka-teki hubungan Sharifah Sakinah dan suaminya, Michael Hensen akhirnya terjawab apabila aktres itu mengesahkan mereka bakal berpisah.
Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 33, berkata, hubungan jarak jauh menjadi punca dia memilih untuk berpisah dengan Michael.
Malah katanya, sepanjang tiga tahun bersama pemuda berasal dari Sweden itu, hubungan mereka sering dilanda badai, bahkan dia akui tidak mahu lagi berulang-alik dari Malaysia ke negara itu kerana memenatkan.
“Ya, kami bakal bercerai dan akan menjalani kehidupan masing-masing selepas ini.
“Saya tidak mahu lagi menjalani hubungan jarak jauh kerana ia memenatkan. Tenaga saya sudah habis. Saya mahu gembira dan memberi fokus kepada kehidupan.
“Michael tidak boleh menetap di Malaysia kerana mempunyai komitmen kerja dan keluarga yang masih di bawah tanggungannya,” katanya.
Terdahulu, Sakinah mengejutkan peminat apabila memberi bayangan seolah-olah perkahwinannya dengan Michael sudah berakhir menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada Khamis lalu.
Menurut laporan Kosmo!, luahan dibuatnya itu bagi mengelak timbul salah faham dan fitnah jika dia dilihat bersama lelaki lain selepas ini.
“Saya ada bercakap dengan Michael, jika dia ada berjumpa dengan wanita lain, teruskan,” katanya.
Sakinah dan Michael yang juga duda anak dua itu berkahwin pada penghujung 2020, namun hanya berkongsi tentang perkahwinan mereka kepada umum pada Februari 2021.
Pelakon itu sebelum ini pernah berkahwin dengan juruterbang, Aliff Adha pada 2015, bagaimanapun pasangan terbabit bercerai pada Mei 2020.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Anais Adha yang kini berusia lima tahun. – BOOM!