Cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan mengakui telah berdamai dengan bekas menantunya, Shikin Maembong.
Menerusi hantaran di Instagram, Wan berkata, mereka berdua tidak terkecuali daripada membuat silap dan menjadikannya satu iktibar hidup.
Bukan sahaja kepada cucu, malah menurut Wan, dia telah berjanji untuk sentiasa berbuat baik dengan menantu dan bekas menantunya.
“Kami ingin melupakan persengketaan yang telah terjadi demi kebahagiaan di hari mendatang.
“Air dicincang tidak akan putus. Sebagai orang dewasa, kami akui kesilapan masing-masing dan telah memaafkan antara satu sama lain.
“Belajar daripada kesilapan dan berubah ke arah hidup yang lebih bahagia.
“Sebagai seorang datuk, saya sentiasa cuba lakukan yang terbaik buat cucu-cucu, menantu mahupun bekas menantu. Itu janji saya. Insya-Allah, Alhamdulillah,” coretnya.
Wan berkata demikian dalam kapsyen dilengkapi gambar memotretkan dirinya bersama Shikin yang dimuat naik di media sosial.
Difahamkan foto tersebut diambil pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran ibunya baru-baru ini.
Di ruangan komen, Shikin dan anaknya bersama Chef Riz iaitu Putri Arriana Natasya juga dilihat menzahirkan rasa kasih mereka kepada figura itu.
Perkongsian tersebut bukan sahaja mengharukan, bahkan disambut gembira oleh para pengikut mereka yang mempunyai pengaruh tersendiri.
Terdahulu, media sebelum ini pernah melaporkan perbalahan antara Shikin dan Riz berhubung hak penjagaan anak tunggal mereka.
Hal itu secara tidak langsung mendapat teguran pedas daripada cef terkemuka dunia itu hingga mendesak kakak kepada Emma Maembong tersebut menghantar surat saman malu.
Sebagai informasi, Riz pernah mendirikan rumah tangga dengan Shikin pada 5 Disember 2014, namun mereka bercerai pada Jun 2016. – BOOM!