Pelakon Nadhir Nasar menolak dakwaan netizen yang mengatakan ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini seakan-akan menyindir seorang vokalis kugiran tempatan.
Jelas Nadhir atau pemlik nama lengkap Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 26, ciapan tersebut dibuat secara rawak dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu.
“Sebenarnya tweet berkenaan tidak menyindir sesiapa pun, ia untuk kawan-kawan saya sahaja.
“Ia kebetulan terkena dengan topik panas yang sedang diperkatakan ketika itu.
“Bila orang kata ditujukan kepada vokalis itu, ia tak betul. Saya pun ada kawan berlatarbelakangkan muzik. Ada pemain gitar, dram dan sebagainya,” jelasnya.
Nadhir ditemui usai dia menjadi tetamu dalam program MeleTOP yang bersiaran secara langsung dari Studio 1, Astro Bukit Jalil dan turut disiarkan menerusi Astro Ria, 9 malam.
Relax, jangan acah rockstar sangat, kau bukan billie joe.
— Nadhir (@NadhirNasar) October 3, 2022
Tambah Juara Hero Remaja 2020 itu, dia juga tidak mampu untuk menutup mulut netizen apabila mereka mengeluarkan pelbagai andaianya tersediri.
“Saya tidak sangka ia tular, untuk netizen yang berkata itu terpulang hak mereka.
“Kita hidup di dunia bukan ada diri sendiri sahaja, ada ramai orang, jadi saya harap tidak ada sesiapa yang terasa.
“Tweet itu sangat rawak, saya pun tak boleh tutup mulut orang, malah saya akui saya tidak selalunya betul, ada juga salahnya,” tambah Nadhir.
Terdahulu ciapan Nadhir yang berbunyi “Relax jangan acah rockstar sangat, kau bukan Billie Joe” tular dan mendapat pelbagai reaksi wargamaya.
Malah ada segelintirnya yang mengaitkan luahan pelakon Projek Anchor SPM itu dengan kontroversi yang melanda seorang vokalis tempatan yang bertindak meludah ke arah penonton ketika mengadakan persembahan pada sebuah konsert. – BOOM!