Penyanyi naungan Warner Music Malaysia, Amir Hasan terkejut apabila namanya dikaitkan dengan kes penyelewengan duit yang terjadi ke atas rakan seperjuangannya di bawah label sama iaitu Andi Bernadee.
Amir atau Amir Abu Hasan, 25, menerusi satu kenyataan media dikeluarkan syarikat rakaman terbabit mengakui terkesima sementelah mendengar tuduhan tidak berasas tersebut.
“Bukan saya yang songlap duit Andi. Jujurnya saya sendiri tak pasti punca fitnah ini boleh tersebar.
“Semalam, ketika saya buka Instagram, tiba-tiba terdapat banyak notifikasi.
“Setelah membaca komen-komen yang ditinggalkan, terkejut dibuatnya apabila warganet menuduh saya sebagai individu yang mencuri duit Andi sebanyak RM70,000,” jelas pelantun lagu iShy itu.
Tambah Amir, dia dapat merasakan spekulasi liar itu tercetus gara-gara petunjuk atau klu yang dikongsikan Andi dalam repot polisnya.
“Andi kata, dia mengenali individu terbabit kira-kira dua tahun lalu, tempoh sama kami berkenalan. Tetapi itu cuma kebetulan, bukan kenyataan,” ujarnya menceritakan keadaan sebenar, sekali gus menepis dakwaan yang timbul.
Semalam, Andi membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi apabila mendakwa telah dianiaya pembantu peribadinya sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM70,000.