Baru sahaja menimang cahaya mata pertama pada 16 April lalu, penyanyi bersuara lantang, Idayu Yaakob nyata sukar menyembunyikan keterujaannya bergelar seorang ibu.
Apatah lagi, kehadiran bayi lelaki yang dinamakan Aryan Rifai itu sekali gus menamatkan penantian selama tujuh tahun sejak berkahwin dengan Shahrul Fadzil pada Mei 2014.
“Tipulah kalau saya kata tak letih. Rasanya, setiap pasangan yang baru mendapat anak pasti menempuhi pengalaman serupa.
“Lebih-lebih lagi bagi suami isteri yang belum pernah dikurniakan zuriat, cabarannya agak sukar,” ceritanya kepada Boom!.
Pun begitu, menurut Idayu, 36 atau Nur Farah Idayu Yaakob, dia dan suami sering berkomunikasi antara satu sama lain jika berhadapan sebarang masalah.
Katanya, dalam apa jua keadaan, proses komunikasi perlu berjalan dengan lancar supaya tidak timbul isu lain, sekali gus mampu menangani masalah sedia ada.
“Sebelum ada Aryan, kami dah tujuh tahun hidup bersama dan harungi pelbagai ujian dalam berumah tangga.
“Jadi, persediaan kami untuk menjadi ibu bapa ini sudah lama dan Alhamdulillah, segala kesukaran dapat diatasi,” jelasnya.
Pada masa sama, mengulas tentang karier seninya, Idayu merancang untuk tampil dengan dua buah single dalam masa terdekat.
“Seperti sebelum ini, saya pernah tampilkan dua lagu serentak. Bagi produk baharu, karya solo sudah ada, namun naskhah duo masih belum dimuktamadkan,” kongsinya yang popular menerusi duet Sampai Syurga bersama Ezad Lazim.
Tambah penyanyi yang mengidolakan Mariah Carey itu, dia juga belum memutuskan sebarang calon untuk projek kolaborasi akan datang.
“Sudah ada beberapa nama yang terlintas dalam fikiran saya sejak sekian lama tetapi buat masa ini, kena pilih dulu karya yang sesuai,” maklumnya.