Sesuai dengan statusnya sebagai seorang isteri, selebriti dan usahawan Neelofa kini menetapkan ‘syarat’ dia tidak mahu lagi tampil berdua dengan mana-mana selebriti atau tetamu lelaki dalam mana-mana program tv selepas ini.
Menerut Neelofa, 33, keputusan itu adalah atas inisiatifnya sendiri kerana ingin menjaga maruah suami, pendakwah bebas, PU Riz.
“Itu kemahuan saya sendiri, secara logiknya bila buka tv nampak saya duduk di sebelah lelaki memang tidak manis dan tidak sesuai.
“Tidak eloklah untuk sesiapa sahaja berstatuskan isteri. Saya buat ini lebih kepada tanggungjawab saya sebagai isteri dan juga untuk menjaga nama baik dan maruah suami.
“Keputusan ini saya ambil atas kemahuan sendiri, bukanlah suami meletakkan syarat tertentu kepada saya.
“Saya dengan tenang hati buat benda itu sebab saya rasa ia adalah benda yang baik,” katanya.
Justeru itu, program kendaliannya, Next to Neelofa musim kedua mengundang kesemua tetamu wanita untuk rancangan tersebut.
Antara tetamu yang diundang ialah Datin Lisa Surihani, Ziana Zain, Tya Ariffin, Diana Amir, Puteri Sarah Liyana, Oki Setiana Dewi termasuk ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Mohamed Noor.
Next to Neelofa 2 akan disiarkan bermula 22 Oktober ini, setiap Sabtu jam 10 malam di saluran Astro Ria (104). – BOOM!