Pendatang baharu, Firdaus Safwann, 24, memilih untuk tidak ambil pusing dengan komen negatif terhadapnya mengenai apa sahaja watak lakonan yang dibawanya.
Bagaimanapun katanya, dia akan mempertimbangkan terlebih dahulu sebelum menerima sebarang tawaran watak yang dipercayai tidak akan memberi manfaat kepada penonton.
“Bila terima tawaran, saya hanya fikir satu hal sahaja iaitu bagaimana caranya untuk melakonkan watak itu bersama gandingan pelakon utama.
“Berkenaan apa yang netizen nak katakan (negatif) saya tak fikir langsung sebab ini pilihan saya.
“Kalau saya fikirkan tentang cakap-cakap orang, maka saya akan kekal di takuk sama sahaja,” katanya.
Firdaus berkata demikian berhubung babak lakonan bersama pelakon Keith Foo (Hayna) dalam drama Di Sebalik Dia yang mengetengahkan isu penyakit DID (Dissociative identity disorder).
Menurutnya, meskipun pada awalnya berasa gemuruh, namun segalanya berjalan dengan lancar dan berharap ada sinar untuk masa mendatang dengan tawaran watak berbeza.
Sebagai informasi, menerusi drama Pencil Pictures & Records yang diarahkan oleh Rahila Ali itu, Keith Foo membawakan lima watak berbeza iaitu Iskandar, Daniel, Hayna, Haikal dan Razak.
Selain berlakon, Firdaus juga merupakan model di bawah pengurusan syarikat Aunim Modeling dan seorang Jurupulih Perubatan Fisioterapi di sebuah Pusat Perubatan Chiropractic, Klang Lama, Kuala Lumpur. – BOOM!