Penyanyi baharu naungan KRU Music, Dian Hashim mendedahkan dia alami kesukaran untuk mencari identiti yang bersesuaian dengan imejnya yang berhijab.
Dian, 22 atau Nordiana Shalieza Che Hashim yang mempertaruhkan debut Aku Wanita pada tahun lalu berkata, dia sering berhadapan situasi apabila disamakan dengan artis ternama lain.
“Jujurnya, banyak kali saya tempuhi pengalaman sebegini terutama perbandingan dari sudut gaya serta imej saya yang mengenakan hijab.
“Perkara ini selalunya terjadi sebaik sahaja saya siap bersolek,” tambahnya membuka cerita.
Pun begitu, Dian akur menerima pandangan tersebut dengan hati terbuka memandangkan mengakui dia masih tercari-cari identiti tersendiri.
Berkelulusan Diploma Seni Muzik lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dian mengatakan bahawa ketrampilan ditonjolkannya kini adalah hasil rujukan pelbagai sumber.
“Menyentuh konteks berpakaian, saya gemarkan sesuatu yang bukan saja nampak cantik di mata, tetapi paling penting, ia selesa dipakai.
“Buat masa ini, saya masih dalam proses cuba-cuba dengan menyuai padan gaya yang mampu menyerlahkan pesona penyanyi bertudung,” beritahu gadis kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu.
Dalam perkembangan terkini berkaitan kerjaya nyanyiannya, Dian dijangka bakal melancarkan single kedua berjudul Petanda tidak lama lagi.
Meskipun pertaruhan sulung menerusi Aku Wanita tidak begitu memberangsangkan, anggota UiTM Chamber Choir itu kekal optimis meneruskan cita-cita bergelar penyanyi.
“Setiap kegagalan adalah petunjuk terbaik untuk mengorak langkah yang lebih lancar pada masa hadapan.
“Sama seperti karya sebelum ini, Petanda juga dihasilkan gandingan komposer sama iaitu Neo dan Rayyan Rayhan.
“Diharap judul lagu ini turut memberi isyarat positif terhadap perkembangan karier saya kelak,” doanya mengharap sinar.
Terdahulu, bakat Dian dihidu sementelah menyertai program hiburan terbitan TV3, I Can See Your Voice musim pertama yang disiarkan pada 2018.