Pelakon baharu, Syarafi Sudarmaji atau Rafi berdepan detik cemas apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum susur keluar Tol Kuantan, Pahang, kira-kira tengah malam Jumaat lalu.
Kata pelakon yang membintangi siri Aku Yang Kau Gelar Isteri itu, insiden berlaku ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai menjalani penggambaran drama Hati Tanpa Rasa di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
“Malang tak berbau. Kereta saya terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelum berpusing beberapa kali akibat jalan licin.
“Mujur waktu itu tiada kenderaan lain di belakang dan saya baik-baik saja. Tiada kecederaan, cuma kereta pada bahagian hadapan remuk.
“Masa kejadian, saya cuma fikir mahu cepat sampai ke rumah dan berehat serta luangkan masa bersama keluarga, sebab cuti rehat hanya dua hari sahaja,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan karier, dia bersyukur namanya mula bersinar di arena industri lakonan, bahkan menerima tawaran daripada beberapa produser dan pengarah terkenal.
Antara drama dibintanginya yang akan disiarkan adalah Hati Tanpa Rasa, Chinta Arjuna dan Cik PA Tuan Ash. – BOOM!